Kebiasaan
masyarakat kita apabila disebut persediaan menjadi suami, mereka
menyangka ia adalah memiliki sijil pengajian tinggi, paling kurang
diploma. Telah memiliki kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500,
diikuti dengan sebuah rumah dan kereta.
Tidak ketinggalan, wang tunai berjumlah RM30,000 untuk urusan
perkahwinan seperti duit hantaran, dulang-dulang hantaran, cincin dan
belanja kenduri kahwin. Jika seorang lelaki belum memiliki semua ini,
dia belum layak untuk bergelar suami.
Namun dalam Islam, ukuran persediaan untuk menjadi suami bukanlah seperti di atas.
Persediaan untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada kualiti lelaki tersebut dan inilah yang akan diperincikan di sini.
01. KEPIMPINAN
Persediaan terpenting ialah bakal suami perlu mengetahui bahawa dia memiliki tanggungjawab sebagai pemimpin ke atas keluarganya.
Allah berfirman:
"Kaum lelaki itu
adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum
perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki
(dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan." - [al-Nisa' 4:34]
Sebagai pemimpin, bakal suami hendaklah memiliki ilmu rumahtangga,
akhlak yang menterjemah teori kepada praktikal, disiplin yang tinggi
serta wawasan yang luas.
Jika sebelum ini pernah menjadi pemimpin, seperti pemimpin kelab,
persatuan, rombongan atau jabatan, maka ia adalah pengalaman yang boleh
dikembangkan dalam kepimpinan rumahtangga.
Bagi yang belum pernah, maka alam rumahtangga adalah suasana yang baik untuk mula melatih diri menjadi pemimpin.
Terasa sukar? Jangan bimbang. Lantiklah isteri anda menjadi timbalan
pemimpin untuk bersama-sama saling membantu mengemudi bahtera
rumahtangga.
Di sini perlu diingatkan bahawa kepimpinan anda sentiasa dicatit markahnya oleh malaikat di bahu kanan dan kiri.
Oleh itu berwaspadalah, jangan menjadi pemimpin yang ego dan zalim.
Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda akan dipersoalkan semula oleh
Allah pada Hari Akhirat kelak.
02. KETEGASAN
Lanjutan dari ciri seorang pemimpin, bakal suami hendaklah tegas dalam membimbing isteri. Kelak apabila dianugerahkan cahaya mata, suami juga hendaklah tegas dalam membimbing anak-anak.
Allah mengingatkan:
"Wahai orang-orang
yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan
anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta
berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan
tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah
akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - [al-Taghabun 64:14]
Oleh itu dalam institusi perkahwinan, suami adalah pemimpin dan
bukan yang dipimpin, penjaga dan bukannya dijaga serta pengawal dan
bukannya dikawal. Namun ketegasan bukanlah bererti bengis dan
menakutkan, sebaliknya hendaklah bersikap memaafkan dan tidak marahkan
mereka serta mengampunkan kesalahan mereka.
03. PEMELIHARA DARI API NERAKA
Suami merupakan pemelihara agar ahli keluarga tidak masuk ke dalam api neraka.
Firman Allah:
"Wahai orang-orang
yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang
bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga
dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya);
mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang
diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala
yang diperintahkan." - [al-Tahrim 66:06]
Justeru anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan
seterusnya mendidik ahli keluarga serta memastikan mereka
mempraktikannya. Lebih penting, anda hendaklah paling kehadapan dalam
mempraktikkan ilmu-ilmu agama tersebut. Jangan
sekadar menyuruh ahli keluarga mendirikan solat tetapi anda tidak
solat, jangan sekadar menyuruh ahli keluarga menutup aurat tetapi anda
mendedahkan aurat.
Allah memberi amaran:
"Wahai orang-orang
yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan
sesuatu yang kamu tidak melakukannya." - [al-Saff 61:2-3]
04. MEMBERI NAFKAH
Termasuk persediaan menjadi suami ialah kesedaran bahawa anda merupakan sumber kewangan rumahtangga. Justeru anda
bertanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal, keperluan asas
dalam tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman kepada ahli
keluarganya. Anda juga bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli keluarga seandainya mereka jatuh sakit.
Meskipun nafkah rumahtangga berada di atas bahu suami, ini tidaklah
bererti suami mesti memiliki pendapat minima yang tertentu jumlahnya.
Setiap suami memiliki kemampuan kewangan yang berbeza dan setiap suami
berbelanja untuk ahli keluarganya pada kadar kemampuannya. Tidak ada
nilai minimum atau maksimum untuk kadar nafkah ini.
Allah berfirman:
"Hendaklah orang
(suami) yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang
di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang
diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu)." - [al-Thalaq 65:07]
Demikianlah beberapa kualiti yang perlu ada pada seorang lelaki
untuk dia menjadi seorang suami. Perhatikan bahawa kualiti-kualiti ini
tidak ada ukuran minimum dan maksimum atau batasan tertentu bagi
menentukan layak atau tidak.
Ia adalah kualiti yang nilainya relatif, ia akan bertambah apabila
anda berusaha untuk memperbaikinya dan akan berkurang apabila anda
mengabaikannya.
Justeru, lelaki yang sudah bersedia menjadi suami ialah lelaki yang
mengetahui kualiti-kualiti ini, memilikinya dan berazam untuk terus
memperbaikinya.