Thursday, September 15, 2011

Imam Diangkat Bukan Kerana Pakaian

Selama iktikaf dimasjid, saya perasan bahawa mentaliti umat Islam kita masih jumud tentang pakaian. Biarpun ustaz tetapi jika tak berjubah dan berserban maka susah untuk orang ramai dan ahli jamaah nak mengangkat jadi Imam !

Kata Syeikh Syed Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnahnya, orang yang paling berhak menjadi imam ialah orang yang paling baik bacaannya terhadap kitab Allah. Kemudian jika ada ramai orang yang setanding bacaannya maka dipilih dikalangan mereka orang yang paling faqih dan memahami sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam. Adapun jika masih ada yang setanding lagi selepas itu maka didahulukan orang yang paling awal berhijrah dan jika masih ada lagi yang setanding maka akhirnya didahulukan orang yang lebih tua. (Lihat Fiqh Sunnah, Jilid 1, ms. 173. Cet. Muasasah Resalah)

Ini bertepatan dengan hadis Abu Mas’ud Al-Ansori ra yang berkata telah bersabda baginda rasulullah SAW :

”يؤم القوم أقرؤهم لكتاب الله فإن كانوا في القراءة سواء فأعلمهم بالسنة، فإن كانوا في السنة سواءً فأقدمهم هجرة، فإن كانوا في الهجرة سواءً فأقدمهم سلماً – وفي رواية - سنّاً

Maksudnya : Yang menjadi imam kepada suatu kaum itu (yang berhak) ialah orang yang paling baik bacaan (dan hafalan) Al-Qur’annya . Kalau ada dikalangan mereka itu yang setanding dalam bacaan maka dipilih yang paling mengerti tentang Sunnah. Kalau dalam Sunnah juga setanding, maka dipilih yang lebih dahulu berhijrah . Kalau dalam berhijrah itu juga ada dikalangan mereka yang sama, maka dipilih yang lebih dahulu masuk Islam”. Dalam riwayat lain : ”.....yang paling tua usianya” . (hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Malangnya di tanahair kita kebanyakan surau, musolla dan masjid lebih suka memilih imam dikalangan orang yang berpakaian jubah dan serban dari melihat kepada bacaan dan kebolehan. Ini disebabkan mentaliti kita masih belum bebas dan merdeka daripada kejumudan dan kesempitan pemikiran !

Pemikiran seperti ini perlu diubah kerana ianya akan membahayakan generasi muda dan survival Islam di masa hadapan. Ketahuilah sebaik-baik pakaian ialah taqwa dan ianya tidak jubah dan serban tetapi istiqamah dan berpegang kepada syariat Allah !

Syarat dalam ibadah ialah menutup aurat dan pakaian itu bersih daripada kotoran serta tidak menimbulkan fitnah yang menyalahi agama seperti isu tasyabuh dan sebagainya. Selain daripada itu ianya adalah harus dipakai dan layak dibawa ke dalam tempat solat.

Firman Allah SWT : ”Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Al-A’raaf : 26)

Sesungguhnya sebaik-baik pakaian yang dipakaikan ke tubuh badan ialah pakaian taqwa dan dilekatkan ke tubuh demi mencari keredhaan Allah SWT !
Wallahu’alam.


Syukron kerana membaca post ini.Moga dapat manfaat darinya,inshAllah :)

1 comment: